Pelumba drift melakukan latihan sebelum perlumbaan D1 Grand Prix Malaysia dan Asia Tenggara di Litar APDCrew, Serdang pada 18 Mac 2023. Foto APD Crew
AGENDASUKANKINI

54 pelumba antarabangsa berentap di Grand Prix Malaysia

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 17 MAC: D1 Grand Prix Malaysia menampilkan 54 pelumba dari tujuh negara di Litar APDCrew di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Serdang mulai esok.

Pengurus Media APDCrew Circuit, Abdul Malik Tanjeng berkata kali terakhir kejohanan dengan kerjasama Kelab Sukan Permotoran Exquisite diadakan di negeri ini pada 2006.

“Kejohanan yang menyertakan Siri Drift Nasional Malaysia (NDS GP) dan D1 Grand Prix Asia Tenggara menampilkan pemain dari Malaysia, Indonesia, Jepun, China, Filipina, Thailand dan Pakistan.

“Pelumba D1 Grand Prix Malaysia dan Siri Drift Nasional Malaysia akan berentap dalam pusingan satu dan dua sementara pelumba D1 Grand Prix Asia Tenggara akan bertarung dalam pusingan akhir,” kata Abdul Malik.

Menurutnya, antara tarikan perlumbaan ialah pemandu berusia 13 tahun, Mechanic Guys dari Indonesia yang pasti mencuri tumpuan kerana beliau merupakan pemandu pro termuda dalam siri ini.

“Lagenda sukan drift Kawabata Masato turut menyertai acara hujung minggu ini bersama drifter selebriti dari Indonesia serta beberapa drifter terkemuka Malaysia antaranya Tengku Djan Ley, Fazreen Ismail, Foo Wei Shern dan Jason Lim.

“Juri pula akan diketuai oleh Kamimoto dari Jepun, Mervyn Nakamura dari Malaysia dan Davide Dorigo dari Thailand,” tambahnya.

Menurut Abdul Malik, peminat sukan drift boleh membeli tiket di pintu masuk dengan harga RM20 sehari, RM30 untuk dua hari atau menonton siaran langsung di laman Facebook D1 Grand Prix Malaysia, NDS Malaysia, Retro Havoc dan APDCrew Circuit.


Pengarang :