Anggota bomba menjalankan kerja pemindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara di Taiping pada 25 Mac 2023. Foto JBPM Perak
AGENDANASIONAL

60 mangsa banjir di Perak dipindah ke pusat pemindahan

IPOH, 26 MAC: Seramai 60 orang daripada 14 keluarga terpaksa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dinaiki air akibat banjir di Taiping malam tadi.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dalam kenyataan memaklumkan PPS dibuka di Dewan Orang Ramai Sungai Relong bagi menempatkan mangsa dari Kampung Sungai Relong dan Kampung Baru Batu 5 pada 9.12 malam.

“Banjir berpunca daripada hujan lebat berterusan melebihi dua jam dan melibatkan kawasan perumahan yang rendah,” katanya sambil menambah cuaca ketika ini tidak hujan dan pelbagai agensi serta pasukan penyelamat sedang melakukan pemantauan di lokasi terlibat.

Sementara itu, seramai lapan individu terkandas di kawasan Gunung Liang, Tanjung Malim ketika melakukan aktiviti mendaki.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pihaknya mengerahkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tanjung Malim ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan mengenai mangsa yang terperangkap pada 5.35 petang.

“Kesemua mangsa tidak dapat turun ke kaki bukit atas faktor cuaca dan laluan merintangi sungai telah dinaiki air disebabkan hujan lebat berterusan pada sebelah petang,” menurutnya dalam kenyataan.

Katanya mangsa kemudian berjaya turun dengan bantuan anggota bomba dan Pasukan Bomba Sukarela Slim Village pada 9.35 malam.

– BERNAMA


Pengarang :