Oleh DIANA ABD WAHAB
SHAH ALAM, 15 MAC: Kira-kira 80 peratus usahawan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) melunaskan bayaran balik pinjaman menerusi pelbagai pembiayaan disediakan agensi berkenaan.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya Normaiza Yahya berkata angka positif itu membuktikan usahawan komited mengekalkan prestasi mereka terutama ketika membuat bayaran balik.

“Pada peringkat awal disiplin kredit bayaran balik usahawan sangat baik namun bila berlaku penularan pandemik Covid-19 ia sedikit terjejas.
“Ia berikutan apabila perniagaan terjejas usahawan juga terjejas justeru mereka tak mampu bayar balik pembiayaan,” katanya.
Beliau yang ditemui pada program Kembara Sukses Hijrah Selangor 2023 di sini semalam berkata pihaknya memahami situasi dialami usahawan dan menawarkan pelan pemulihan pembiayaan bagi menyelesaikan perkara itu.
“Kita sediakan bantuan moratorium dan khidmat kaunseling kepada usahawan yang berdepan masalah.
“Mereka boleh datang dan kita jadualkan semula bayaran pembiayaan kerana kita yakin mereka yang berniat baik akan buat bayaran balik dengan sempurna,” katanya.
Kembara Sukses Hijrah 2023 merupakan inisiatif agensi itu mendokumentasikan pencapaian usahawan yang membuat pinjaman dalam bentuk penulisan dan video yang menampilkan prestasi cemerlang peserta.