Murid-murid Sekolah Kebangsaan Meru, Klang memulakan sesi pembelajaran pada hari pertama sesi persekolahan penggal ketiga bagi negeri Kumpulan B ketika tinjauan pada 10 Januari 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

830 sekolah daif dibaik pulih di seluruh negara

KLANG, 31 MAC: Kementerian Pendidikan (KPM) akan bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam usaha memantau bangunan sekolah daif di seluruh negara supaya keselamatan murid dapat diutamakan.

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying berkata kerjasama itu juga bagi memastikan semua langkah pemeriksaan atau pemantauan ke atas sekolah berkenaan dibuat dengan teliti kerana KPM komited dalam menyediakan infrastruktur pendidikan yang selamat serta kondusif untuk kegunaan murid dan warga sekolah.

“Setakat ini 830 sekolah telah disenaraikan sebagai bangunan daif dan yang paling banyak adalah di Sabah serta Sarawak. Hal ini (baik pulih) perlu dilakukan serta-merta,” katanya kepada media selepas merasmikan Pameran Pendidikan Institusi Pengajian Tinggi Awam Siri 1 di Klang Commercial Convention Centre di sini hari ini.

Mengenai tahap kerosakan sekolah itu, Lim berkata ia meliputi pelbagai aspek terutamanya membabitkan struktur bangunan yang tidak selamat dan mengancam keselamatan.

“Bangunan sekolah daif ini tidak selamat untuk murid… kebanyakannya yang berada di skala enam dan tujuh (mengikut analisis skor gred impak bagi mengenal pasti bangunan daif) itu mengancam keselamatan mereka (murid), jadi perkara ini harus diberikan perhatian,” katanya.

Skala enam merujuk kepada bangunan yang tidak selamat dengan pengesahan dilakukan oleh Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri manakala skala tujuh merujuk kepada bangunan tidak selamat dengan pengesahan daripada Jabatan Kerja Raya.

Mengulas mengenai pameran pendidikan itu, beliau berkata tujuan utama adalah bagi menyediakan sebuah platform sesuai untuk pelajar sekolah menengah khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia supaya menyedari dan meneroka peluang pendidikan yang ditawarkan kerajaan.

“Melalui program ini, mereka akan mengetahui dengan lebih dekat mengenai tawaran atau peluang yang disediakan oleh kerajaan bagi melanjutkan pelajaran dalam bidang yang bersesuaian.

“Pameran akan berlangsung sebanyak empat siri iaitu hari ini untuk siri pertama, tiga lagi akan diadakan di Georgetown, Pulau Pinang pada 1 April; Ipoh, Perak (7 April) dan Batu Pahat, Johor (8 April),” katanya yang juga bercadang untuk mengadakan pameran serupa di setiap negeri pada tahun hadapan.

– BERNAMA


Pengarang :