Banjir melanda rumah penduduk di Kampung Cahaya Baru menyebabkan beberapa mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Muafakat MBPG Kampung Cahaya Baru, Johor Bahru pada 1 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

89 calon SPM terkandas, tidak hadir peperiksaan akibat banjir di Johor

JOHOR BAHRU, 1 MAC: Seramai 89 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini terkandas akibat banjir dan tidak dapat menghadiri peperiksaan setakat 10.30 pagi tadi, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Johor, Norlizah Noh.

Beliau berkata mereka terdiri daripada lapan sekolah iaitu satu di Kulai dan tujuh di Segamat.

“Di Segamat, yang terjejas banjir melibatkan 45 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tenang Stesen; SMK LTP Pemanis (32); SMK Labis (lima orang) dan selebihnya daripada SMK Bandar Putra, SMK Gemereh, SMK Dato’ Bentara Dalam dan SMK Tinggi.

“Selain itu, terdapat seorang pelajar terjejas daripada SMK Taman Putri, Kulai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norlizah berkata 127 calon juga didapati terpaksa menumpang di empat pusat peperiksaan melibatkan SMK Laksamana, SMK Tun Habab, SMK Agama dan SMK Bandar di Kota Tinggi.

Sementara itu, Norlizah berkata 89 lagi calon selamat sampai di pusat peperiksaan dengan sebilangan daripada mereka bermula lewat.

Mereka terdiri daripada 34 pelajar SMK Sungai Tiram dan SMK Kota Masai (enam), Pasir Gudang; SMK Dato Abdul Rahman Yassin (tiga), SMK Taman Damansara Aliff (satu), SMK Majidi Bahru 2 (dua) dan SMK Taman Sutera (dua) di Johor Bahru.

Di Kulai, melibatkan SMK Bukit Batu (dua), SMK Bandar Tenggara (lima); di Kluang membabitkan empat di SMK Seri Kota Paloh, SMK Kahang (tiga), SMK Seri Perdana (dua), SMK Paloh (20) manakala di SMK Yong Peng, Batu Pahat membabitkan lima pelajar.

Semua pelajar terlibat dijadual menduduki peperiksaan Sains dan Fizik pada sebelah pagi manakala Sains Rumah Tangga pada sebelah petang.

Johor dilanda banjir sejak malam tadi dengan mangsa banjir 2,162 orang melibatkan 581 keluarga di lima daerah iaitu Segamat, Kluang, Kota Tinggi, Johor Bahru dan Kulai.

– BERNAMA


Pengarang :