Setiausaha Politik Menteri Besar Juwairiya Zulkifli. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

ADN cadang tubuh jawatankuasa hak asasi kesaksamaan gender di Dewan Negeri Selangor

SHAH ALAM, 16 MAC: Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender di Dewan Negeri Selangor.

Juwairiya Zulkifli berkata ia selaras dengan penubuhan jawatankuasa pilihan khas hak asasi gender seperti yang ada di Dewan Rakyat ketika ini.

“Isu kesaksamaan gender ini bukan isu wanita semata-mata tetapi ia untuk mengangkat keadilan sosial bagi golongan hawa dan isu berkaitan memandangkan wanita sebahagian atau hampir 50 peratus populasi penduduk Selangor.

“Justeru, wajar satu jawatankuasa diwujudkan membantu melihat polisi dan kelompongan undang-undang, dasar serta program sedia ada supaya memastikan segala keperluan dan hak wanita itu diangkat, dipelihara juga dibela di bawah pentadbiran Kerajaan Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika usul menyembah ucapan serta menjunjung kasih titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Dewan Negeri Selangor semalam.

Pada masa sama, Juwairiya berkata beliau turut tertarik dengan program Kerajaan Negeri dalam memperkasa golongan hawa untuk digilap menjadi pemimpin antaranya seperti Sidang Wanita Selangor dan Akademi Wanita Selangor.

“Namun soalan saya apakah Kerajaan Negeri bercadang untuk meneruskan program ini dan bagaimana program ini membantu ke arah 30 peratus penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan di semua peringkat,” katanya.


Pengarang :