Ahli Dewan Negeri Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin ketika majlis perasmian trek joging dan taman permainan baharu di SS25/9 Kelana Jaya pada 23 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

ADN: Henti politik kebencian yang boleh pecah belah kaum, agama

PETALING JAYA, 24 MAC: Parti politik perlu menghentikan kempen bersifat kebencian yang dikhuatiri boleh memecah-belahkan kaum serta agama menjelang pilihan raya negeri (PRN).

Ahli Dewan Negeri Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin berkata Pakatan Harapan (HARAPAN) sejak dahulu menolak politik perkauman serta memfokuskan pentadbiran Malaysia yang lebih baik

“Sebaliknya, kita mahu menumpukan untuk menarik orang muda terutama yang pertama kali mengundi bahawa pentingnya undi mereka ke arah Malaysia yang lebih baik.

“Kita juga akan menyebar luaskan lagi dasar dan inisiatif dilaksanakan Kerajaan Selangor dengan bajet RM2.45 bilion yang mana tiada mana-mana negeri mampu melakukan seperti kita.

“Kita tidak kempen untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama sahaja sebaliknya kita kempen untuk Selangor juga, tiada guna jika Bandar Utama sahaja menang tetapi negeri tidak,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Taman SS25/9 yang selesai dinaik taraf di sini.

Baru-baru ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memberi bayangan kemungkinan PRN diadakan pada Julai atau selewat-lewatnya Ogos ini.

Beliau berkata HARAPAN juga perlu memberi penjelasan supaya rakyat tidak terkeliru dengan pendekatan pihak pembangkang yang memperalatkan Islam dan membawa politik kebencian.


Pengarang :