Ketua Operasi Air Selangor Ir Abas Abdullah (tiga, kanan) memberi taklimat kepada media ketika sesi lawatan di LRA Semenyih 2 Dengkil, Sepang pada 18 Ogos 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Air Selangor peruntuk RM35 bilion untuk tambah baik sistem bekalan air

SHAH ALAM, 29 MAC: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memperuntuk RM35 bilion dalam pelan perniagaannya yang mengambil masa lima dan 30 tahun sekali gus memberi khidmat terbaik kepada lebih sembilan juta pengguna.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Ir Abas Abdullah berkata pelan itu antaranya pembangunan sumber air baru seperti skim bekalan air Rasau dan Langat Dua, penggantian paip, penukaran meter paip dan penambah baikan rumah pam.

“Ini perbelanjaan besar dan pada 2023 kita fokus kepada loji air ini yang melibatkan perbelanjaan RM12 bilion, penggantian paip diperuntukkan RM150 juta setiap tahun, RM45 juta penukaran meter air dan RM15 juta untuk rumah pam dan kolam air,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara Agenda Awani dengan tajuk, Kelestarian Air: Apa ‘Plan’ Air Selangor yang dihoskan Irfan Faruqi.

Ketua Operasi Air Selangor Ir Abas Abdullah menjawab soalan ketika sidang media selepas lawatan bersama media di LRA Semenyih 2 Dengkil, Sepang pada 18 Ogos 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Menjawab soalan mengenai cabaran dan pencapaian Air Selangor pada tahun lalu, Abas berkata Air Selangor telah melakukan beberapa penambah baikan termasuk membuat pelaburan besar terhadap sistem bekalan air.

Beliau berkata sehingga kini Air Selangor telah menggantikan paip lama atau usang sepanjang 624 kilomter (km) dengan 552 km daripada paip itu sudah diaktifkan membabitkan 262 lokasi kritikal.

“Terdapat 30,000 km paip dengan 6,000 daripadanya adalah paip usang yang dipasang sejak 1970-an dan kita tidak guna paip ini sejak 1990-an.

“55 peratus paip pecah adalah dari paip usang ini dan bagi atasi masalah ini Air Selangor telah lakukan penggantian paip usang ini dengan 150 km paip ini diganti setiap tahun,” katanya.

Abas berkata pada 2022, Air Selangor memperuntukkan RM2.97 bilion untuk penambah baikan sistem bekalan air termasuk ganti paip, pembinaan loji baru, baik pulih kolam air, selenggara aset dan peralatan.

Menurutnya hasil penambah baikan yang dilakukan itu selain peruntukan kewangan yang besar ia memberi impak positif kepada syarikat penyedia perkhidmatan air terbesar itu.

“Setiap tahun kita lakukan kajian indeks kepuasan pelanggan dan pada 2022, ia merekodkan kenaikan berbanding 2021.

“Kajian ini meliputi pengurusan gangguan bekalan air, perkhidmatan pelanggan, kualiti air dan hebahan komunikasi,” katanya.


Pengarang :