Penghuni penjara mengisi masa lapang melakukan aktiviti berfaedah. Foto Facebook Jabatan Penjara Malaysia
AGENDANASIONAL

Akta baharu berkaitan salah guna dadah, kurangkan kesesakan penjara

SHAH ALAM, 8 MAC: Kerajaan merancang untuk menggubal akta baharu berkaitan penyalahgunaan dadah bagi mengurangkan kesesakan di penjara.

Menteri Dalam Negeri berkata Akta Penyalahgunaan Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) sedang digubal dan dijangka dibentang tahun ini di Dewan Rakyat.

“Kes seperti dadah ditemukan dalam badan seseorang akan disalur ke program rawatan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sama ada bawah rawatan perubatan institusi atau pemulihan dalam komuniti.

“Jika dihantar pemulihan institusi bawah AADK, mereka ditempatkan dua tahun dan apabila keluar dua tahun lagi rawatan peringkat komuniti.

“Jika terus ke komuniti pula, mereka ditempatkan tiga tahun berbeza sekarang ini pesalah berakhir di penjara,” kata Datuk Seri Saifuddin Nasution.

Beliau menjawab soalan Wong Chen yang ingin tahu komitmen kerajaan untuk menyahjenayahkan kesalahan dadah kecil dalam usaha mengurangkan kesesakan di penjara.

Menurut Saifuddin ketika ini kapasiti tahanan berjumlah 74,459 pesalah reman dan sabitan sedangkan keupayaan adalah sekitar 65,000 sahaja.

“Diharap bila akta ini dilaksana mampu kurangkan kesesakan penjara kerana kesalahan jenis tadi (masukkan dadah dalam badan) tidak ditempatkan di penjara sebaliknya di pusat pemulihan,” katanya.


Pengarang :