SHAH ALAM, 25 MAC: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang diramal melanda Sabak Bernam, Kuala Selangor serta Hulu Selangor hingga 9 malam.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan cuaca sama melanda seluruh Perak, Pahang, Johor dan beberapa kawasan di Kedah, Negeri Sembilan dan Sabah.
Menerusi kenyataan di Facebook, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.
Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang http://www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.