AGENDANASIONAL

Anggota polis tembak isteri diarah jalani pemeriksaan mental

KANGAR, 17 MAC: Mahkamah Majistret di sini hari ini mengarahkan anggota polis yang dituduh membunuh isterinya menjalani pemeriksaan mental di hospital psikiatri.

Majistret Ana Rozana Mohd Nor memutuskan perkara itu selepas membenarkan permohonan Pengarah Pendakwaan Negeri Mohd Nordin Ismail agar Lans Koperal Mohamad Nizarman Hassim, 27, menjalani pemeriksaan itu mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Mohamad Nizarman yang memakai t-shirt merah dilihat beberapa kali mengesat air mata dan mengangguk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan kepadanya.

Dia didakwa membunuh Safsufarnisya Salleh, 26, di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat, Kangar antara 6.45 pagi hingga 8.50 pagi pada 5 Mac lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 14 April ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan psikiatri.

Media sebelum ini melaporkan tertuduh menembak mati isterinya di bilik tidur utama rumah keluarga mangsa.

– BERNAMA


Pengarang :