AGENDAJENAYAH

Anggota polis tembak mati isteri, motif kejadian masih disiasat

KANGAR, 5 MAC: Anggota polis menembak mati isterinya di Kampung Bendang Baru, Simpang Empat pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki dipercayai abang ipar suspek, berlaku tembakan di rumah suspek.

“Apabila tiba di tempat kejadian kira-kira 8 pagi, anggota yang bertugas cuba berhubung dengan suspek namun gagal, menyebabkan polis membuat serbuan ke rumah tersebut 9 pagi,” katanya.

Yusharifuddin berkata pihaknya berjaya menahan suspek berpangkat Lans Koperal dan juga merampas senjata api yang digunakan.

“Ketika ditahan, suspek berada dalam bilik tidur utama bersama mayat isterinya berumur 26 tahun.

“Pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan pada mata kiri, dan meninggal akibat tembakan di tempat kejadian,” katanya.

Yusharifuddin berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk dibedah siasat.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan polis akan mendapat perintah reman esok.

“Kita masih lagi menyiasat motif kejadian,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :