DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin bergambar bersama penerima cenderahati bagi golongan asnaf pada Majlis Pelancaran Aspirasi Asnaf sempena ulang tahun ke 5 Persatuan Wanita Islam Prihatin (PWIP) di Hotel One World, Petaling Jaya pada 28 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Aspirasi Asnaf bantu ubah hidup, persiap diri jadi usahawan berjaya

Oleh DIANA ABD WAHAB

PETALING JAYA, 1 MAC: Program Aspirasi Asnaf anjuran Persatuan Wanita Islam Prihatin (PWIP) disifatkan dapat membantu mengubah kehidupan pesertanya daripada terus dibelenggu kemiskinan.

Ibu tunggal yang juga mualaf Nurfahana G Lidadun, 44, bersyukur dengan bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu pada saat dirinya hilang punca selepas suaminya meninggal dunia pada 2018.

“Selepas kematian suami saya hilang tempat bergantung ketika itu 11 anak masih kecil malah enam anak tiada dokumen diri menyebabkan mereka tidak dapat bersekolah.

Nurhana G Lidadun,. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Saya juga tidak mampu bekerja kerana sering sakit berikutan ada ketumbuhan di payu dara namun PWIP banyak bantu dan galak saya menceburi perniagaan.

“Dengan bimbingan PWIP saya berjaya hasilkan pelbagai produk makanan antaranya sambal bilis Borneo, acar ikan talang, acar buah, ikan bilis telur masin dan sos pencicah,” katanya ditemui pada majlis pelancaran program Aspirasi Asnaf di Hotel One World di sini semalam.

Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyempurnakan program Aspirasi Asnaf 2023 anjuran PWIP itu.

Hadir sama Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor Datin Seri Masdiana Muhamad serta Presiden PWIP Mashita Abdul Rahim.

DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menyampaikan cenderahati kepada asnaf pada Majlis Pelancaran Aspirasi Asnaf sempena ulang tahun ke 5 Persatuan Wanita Islam Prihatin (PWIP) di Hotel One World, Petaling Jaya pada 28 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Sementara itu Nurfarhana turut menerima bantuan mesin pengisar industri daripada PWIP untuk mengembangkan perniagaannya.

Anak jati Sabah ini turut dipersiapkan dengan ilmu keusahawanan menerusi program mentor mentee dengan mendapat bimbingan terus daripada rakan strategik PWIP yang juga Personaliti Aspirasi Asnaf, Datuk Noor Azman Nordin.

Berkat sokongan dan bantuan PWIP wanita cekal itu kini meraih pendapatan lebih RM2,000 sebulan hasil jualan lima produknya.

Sementara itu dua sahabat baik bersyukur bantuan diberikan PWIP membantu merealisasikan impian mereka memiliki perniagaan sendiri.

Siti Jantan, 70, dan Zuhaida Ahmad, 49, kini boleh berbangga kerana Kafe Hvala yang terletak di Kampung Medan, di sini, semakin dikenali peminat masakan kampung yang menggemari air tangan Siti yang mesra disapa Mak Ngah.

Zuhaida Ahmad 49, (kanan) dan Siti Jantan, 70, pada majlis Aspirasi Asnaf sempena ulang tahun ke 5 Persatuan Wanita Islam Prihatin (PWIP) di Hotel One World, Petaling Jaya pada 28 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Zuhaida berkata idea membuka kafe itu bermula selepas mereka mengikuti kelas ilmu anjuran PWIP dan perniagaan pertama diceburi ialah berniaga kuih-muih dan lauk-pauk.

“Selepas berniaga kuih dan lauk, kami membuka kafe. Mak Ngah memang suka memasak tapi cara orang lamalah, tiada sukatan, main campak-campak sahaja.

“Saya pula kurang pandai memasak dan lebih minat kerja promosi dan khidmat pelanggan jadi gandingan kami bantu majukan kafe. Kami kini mampu raih sekitar RM5,000 sebulan,” katanya yang mesra disapa Su.

Kafe berkonsep santai dan dibina dengan menggunakan bahan terpakai menawarkan pelbagai masakan kampung yang menjadi kegemaran pelanggan antaranya asam pedas daging dan tetel serta pajeri nanas dan terung.

Kedua-dua ibu tunggal ini berkata selain memajukan Hvala mereka turut membantu rakan mempromosikan produk yang dihasilkan dalam usaha membangunkan komuniti di Kampung Medan.


Pengarang :