Aksi Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie ketika menentang pasangan Jiang Zhen Bang dan Wei Ya Xin dari China dalam perlawanan akhir Terbuka Switzerland di Basel pada 26 Mac 2023. Foto Facebook BAM
AGENDASUKANKINI

Badminton: Soon Huat-Shevon naib juara Terbuka Switzerland

KUALA LUMPUR, 26 MAC: Impian beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, untuk meraih gelaran pertama di pentas final Kejohanan Terbuka Switzerland di Basel tidak kesampaian, selepas tunduk kepada pasangan Jiang Zhen Bang dan Wei Ya Xin dari China malam ini.

Selepas menamatkan cabaran di kedudukan kedua pada kejohanan sama pada edisi lepas, Soon Huat-Shevon yang turun sebagai pilihan keenam kejohanan terpaksa akur, apabila penampilannya pada musim ini disekat Jiang Zhen dan Wei Ya dengan kemenangan 21-17, 19-21, 21-17 dalam tempoh 60 minit di St. Jakobshalle.

Pada set pertama, Soon Huat-Shevon yang berada pada kedudukan ke-11 dunia tampak bertenaga untuk memberi saingan sengit kepada pasangan China itu, namun tidak dapat menandingi kehebatan mereka apabila ditundukkan 17-21.

Pasangan Malaysia itu yang memulakan set kedua dengan perlahan apabila ketinggalan 14-16 kembali memperkemaskan corak permainan, apabila bangkit mengikat kedudukan dengan kemenangan 21-19 pada set kedua, seterusnya mengheret perlawanan ke set penentuan.

Walaupun Soon Huat-Shevon terus menampilkan aksi bertenaga, ia belum cukup untuk mengekang penguasaan pasangan bukan pilihan dari China itu, apabila mereka memuktamadkan kejayaan dengan 21-17.

Ini merupakan pertama kalinya Soon Huat-Shevon bertemu pemenang Masters China 2023 itu.

Terbuka Switzerland ialah kejohanan acara Jelajah Dunia Super 300 BWF, yang menawarkan hadiah bernilai US$16,590 (kira-kira RM70,000) bagi pemenang acara beregu dan US$7,980 (kira-kira RM30,000) bagi finalis, selain mata ranking BWF.

— BERNAMA

 


Pengarang :