Anggota polis, bomba bersama agensi kerajaan lain membantu penduduk terjejas banjir di Kota Tinggi, Johor pada 2 Mac 2023. Foto Facebook Agensi Pengurusan Bencana Negara
AGENDANASIONAL

Bah Johor: Dua warga emas terperangkap di rumah ditemui maut

SEGAMAT, 2 MAC: Dua warga emas ditemukan maut selepas dipercayai terperangkap di kediaman masing-masing di Kampung Kwongsai, Chaah, di sini, pagi tadi, sekali gus menjadi korban terbaharu banjir di negeri ini.

Ketua Polis Daerah Segamat Supt Ahmad Zamry Marinsah berkata mayat lelaki dan wanita berusia lingkungan 70 tahun itu ditemukan kira-kira 11 pagi oleh sepasukan anggota ketika membuat pemantauan selepas banjir surut di kawasan itu.

“Kedua-dua mangsa tinggal seorang diri di rumah masing-masing dan ketika kejadian, rumah mereka ditenggelami air sehingga paras bumbung.

“Jiran memaklumkan mangsa tidak mahu meninggalkan rumah ketika air sedang naik kerana beranggapan banjir tidak akan berlaku,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat di sini, hari ini.

Beliau berkata mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Segamat untuk bedah siasat.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zamry berkata banjir di daerah itu turut menjejaskan kawasan perumahan polis di Chaah dan Bandar Segamat, melibatkan 169 keluarga pegawai dan anggota polis.

Beliau yang menyifatkan banjir itu sebagai terburuk setakat ini, turut menyebabkan dua laluan utama ditutup hingga petang ini iaitu Jalan Jabi-Bukit Tempurung (Segamat) sejauh 10 kilometer dan Jalan Kampung Tungku Tiga-Felda Pemanis.

“Laluan yang sebelum ini ditutup iaitu KM151.0 Jalan Johor Bharu-Seremban sudah mula dibuka kepada pengguna,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :