Sebuah kenderaan pacuan ditenggelami banjir ketika tinjauan di Kampung Orang Asli Sungai Peroh, Kahang, Kluang pada 7 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Bah: Jumlah mangsa di Johor meningkat, Melaka dan Pahang berkurang

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Jumlah mangsa banjir di Johor terus mencatatkan peningkatan malam ini manakala situasi di Melaka dan Pahang yang menunjukkan pengurangan jumlah mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Meskipun hanya tinggal tujuh daerah sahaja di JOHOR yang terjejas banjir, namun jumlah mangsa meningkat kepada 42,851 orang setakat 8 malam ini berbanding 41,543 pada 2 petang tadi.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) jumlah PPS yang masih beroperasi berkurang kepada 186 berbanding 198 pada 2 petang.

JPBN memaklumkan situasi banjir di beberapa daerah semakin pulih, namun Batu Pahat terus terjejas dengan 32,312 mangsa diikuti Muar dengan 4,151 orang dan Tangkak 2,499 orang.

Sebanyak 10 sungai masih melepasi paras bahaya, antaranya Sungai Batu Pahat di Empangan Bekok (Batu Pahat) yang kini berada di paras 20.03 meter (m); Sungai Muar di Buloh Kasap (Segamat) di paras 9.44m dan Sungai Muar di Bukit Kepong (Segamat) di paras 5.14m.

Bagaimanapun, cuaca untuk tujuh daerah diramalkan cerah manakala daerah Mersing, Kota Tinggi dan Kulai dijangka hujan malam ini.

Sementara itu di MELAKA, jumlah mangsa banjir di Jasin mulai berkurangan kepada 557 orang daripada 149 keluarga pada 8 malam ini berbanding 598 orang daripada 159 keluarga pada 2 petang tadi.

Sekretariat JPBN Melaka dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di lima PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Gajah membabitkan 193 orang daripada 51 keluarga.

“Sebanyak 142 mangsa daripada 34 keluarga ditempatkan di SK Parit Penghulu, 61 mangsa daripada 15 keluarga di SK Seri Mendapat, 99 mangsa daripada 25 keluarga di SK Sungai Rambai dan 62 mangsa daripada 24 keluarga pula berada di SK Parit Gantong,” menurut kenyataan itu.

Di PAHANG, aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat melaporkan jumlah mangsa banjir di Rompin menurun kepada 2,248 orang yang ditempatkan di 15 PPS berbanding 2,255 orang petang tadi.

Laman web publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan Sungai Keratong di Rompin kekal melebihi paras bahaya malam ini.

— BERNAMA

 


Pengarang :