Balai Polis Panchor ditutup sementara berikutan dinaiki air pada 4 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Balai Polis Panchor, Muar ditutup sementara selepas dinaiki air

MUAR, 4 MAC: Balai Polis Panchor, di sini, ditutup sementara selepas turut dinaiki air, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata susulan penutupan sementara itu, sebarang urusan yang melibatkan laporan polis boleh dibuat di mana-mana balai polis berhampiran.

Beliau berkata balai berkenaan menempatkan 12 Pegawai Rendah Polis.

“Bagaimanapun, rondaan berkala daripada pihak polis di kawasan terjejas dengan banjir akan diteruskan bagi memastikan keselamatan harta benda dalam keadaan selamat,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Berikutan banjir yang melanda daerah itu seramai 3,492 mangsa ditempatkan di 20 pusat pemindahan sementara (PPS).

Tinjauan mendapati paras air Sungai Muar, yang memisahkan bandar Tangkak dan Muar itu, kelihatan lebih tinggi daripada biasa dengan hujan sejak pagi hingga tengah hari, namun beransur baik menjelang sebelah petang.

Peniaga dan orang ramai di sekitar daerah itu didapati giat menjalankan aktiviti harian mereka seperti biasa.

Anggota keselamatan terdiri daripada Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia turut tidak ketinggalan bertungkus-lumus memindahkan mangsa banjir dan menghantar bantuan ke PPS terlibat, walaupun keletihan terpancar pada wajah mereka.

Wartawan turut berkesempatan menyertai pasukan APM Melaka Tengah yang menghantar barang keperluan ke tiga PPS sekitar Lenga, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Agama Lenga, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Lenga dan SK Lenga dengan menggunakan trak tiga tan Hicom Handalan.

Penghuni PPS yang terdiri daripada pelbagai kaum itu sudah hampir empat hari meninggalkan rumah masing-masing.

“Memang rindu rumah, tapi tak apa demi keselamatan kita duduk sini PPS,” kata seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Wong ketika ditemui di SJK (C) Lenga.

Pertubuhan bukan kerajaan seperti Pertubuhan Ikram Malaysia Muar turut tidak ketinggalan memberikan bantuan barangan seperti tuala wanita, pampers, berus gigi, tisu dan sabun mandi kepada mangsa banjir di PPS.

– BERNAMA


Pengarang :