Mangsa banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Muafakat MBPG Kampung Cahaya Baru, Masai, Johor Bahru pada 1 Mac 2023 selepas rumah mereka di Kampung Sentosa Damai dinaiki air. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Banjir di Johor semakin buruk, 5,878 mangsa dipindah di enam daerah

JOHOR BAHRU, 1 MAC: Situasi banjir di Johor semakin buruk dengan jumlah mangsa banjir melonjak kepada 5,878 orang setakat 12 tengah hari ini berbanding 1,591 mangsa direkodkan pagi tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi kenyataan memaklumkan sebanyak 1,575 keluarga ditempatkan di 54 pusat pemindahan sementara (PPS).

“Kluang menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 1,952 orang ditempatkan di 10 PPS, diikuti Segamat dengan 1,431 orang dipindahkan ke 16 PPS.

“Turut terjejas bencana itu ialah Kota Tinggi melibatkan 1,156 mangsa, Johor Bahru (1,004 orang), Kulai (320 orang) dan Pontian (15 orang),” menurut kenyataan itu.

Di Segamat, beberapa sungai telah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Segamat Kecil yang merekodkan bacaan 38.32 meter (m); Sungai Bandar Segamat (9.2m); Sungai Labis (41.31m) dan Sungai Lenik, Ladang Chaah (8.11m).

Turut melepasi paras bahaya ialah Sungai Kahang, Kampung Contoh (Kluang) di paras 16.95m; Sungai Siku, Kampung Murni Jaya (Kulai) 21.51m; Sungai Skudai, Kampung Separa (Kulai) 18.66m; Sungai Siam, Kampung Sungai Siam 21.51m dan Sungai Pontian Besar, Kampung Melayu Bukit Batu 12.86.

Selain itu, paras air Sungai Pulai, Kampung Ulu Pulai (Pontian) turut melepasi paras bahaya iaitu 2.81m dan Sungai Skudai, Kampung Laut (Johor Bahru) 5.79m.

Cuaca di kesemua 10 daerah dijangka hujan sehingga petang.

– BERNAMA


Pengarang :