Mangsa banjir, Suriyani Arbain, 57, (dua, kanan) bersama Noridah Arbain, 63, (kanan) mengambil makanan untuk mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Sri Medan, Batu Pahat pada 15 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Banjir di Johor semakin pulih, mangsa berkurangan kepada 29,063 orang

JOHOR BAHRU, 16 MAC: Situasi banjir di negeri ini semakin baik setelah daerah Tangkak menjadi daerah terkini pulih sepenuhnya daripada bencana berkenaan.

Susulan itu, jumlah mangsa banjir semakin menurun kepada 29,063 orang mangsa setakat jam 4 petang ini berbanding 31,680 orang yang direkodkan 8 pagi tadi.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), hanya dua daerah masih terlibat dengan banjir iaitu Batu Pahat dan Segamat membabitkan 99 pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi.

“Batu Pahat masih menjadi daerah yang paling terjejas dengan 29,019 orang daripada 8,208 keluarga diikuti Segamat dengan 49 orang daripada 15 keluarga,” menurut kenyataan yang dikeluarkan JPBN.

Dalam masa sama Seketariat Pengurusan Bencana Daerah Batu Pahat, memaklumkan lebih ramai mangsa banjir akan pulang ke kediaman masing-masing setelah keadaan banjir dilihat semakin surut.

Melalui tinjauan, ramai mangsa banjir dibantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membersihkan kawasan terjejas termasuk kediaman penduduk.

Cuaca di 10 daerah di negeri ini diramalkan cerah pada petang ini.

– BERNAMA


Pengarang :