Guru-guru menyampaikan modul Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kepada ibu bapa mangsa banjir yang tidak dapat menghantar anak-anak mereka pada hari pertama sesi persekolahan pada 19 Mac 2023 ekoran keadaan kediaman mereka masih ditenggelami banjir di Sekolah Kebangsaan Seri Pandan, Batu Pahat. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Banjir di Johor surut sepenuhnya, dua pusat pemindahan terakhir ditutup

BATU PAHAT, 26 MAC: Banjir di negeri ini surut sepenuhnya dengan dua pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di daerah ini ditutup pada 12 tengah hari.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata dua PPS berkenaan ialah Dewan Orang Ramai Yong Peng yang menempatkan 79 orang daripada 22 keluarga dan PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Medan membabitkan 62 mangsa daripada 15 keluarga.

Penduduk yang terjejas itu mula pulang ke kediaman masing-masing berikutan ‘banjir termenung’ sebelum ini surut sepenuhnya.

Setakat ini, Sungai Bekok di Empangan Bekok berada di paras amaran iaitu 18.92 meter (m) manakala dua sungai berada pada paras waspada iaitu Sungai Lenik di Ladang Chaah (5.07m) dan Sungai Sembrong di Empangan Sembrong (10.66m).

Dalam pada itu, kesemua daerah di negeri ini dijangka cerah tengah hari ini.

Hampir sebulan banjir melanda Johor sejak 28 Februari lepas sehingga menjejaskan lebih 85,000 penduduk di 10 daerah serta disifatkan sebagai banjir terburuk, menyamai bencana yang sama pada tahun 2006.

– BERNAMA


Pengarang :