Beberapa kenderaan meredah banjir ketika tinjauan di Jalan Utama Yong Peng ke Muar, Johor pada 9 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Banjir di Muar surut sepenuhnya, jumlah mangsa di PPS turun kepada 33,245

JOHOR BAHRU, 15 MAC: Keadaan banjir di negeri ini dilihat semakin baik dengan daerah Muar menjadi daerah terbaharu pulih sepenuhnya daripada bencana itu.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dengan perkembangan terbaharu itu, jumlah mangsa banjir menurun kepada 33,245 orang di tiga daerah setakat 8 malam ini, berbanding 35,230 orang yang direkodkan 4 petang tadi.

“Sehingga kini, sebanyak 107 pusat pemindahan sementara masih dibuka di daerah Batu Pahat, Tangkak dan Segamat.

“Batu Pahat mempunyai paling ramai mangsa iaitu seramai 33,146 daripada 9,407 keluarga, diikuti Segamat 75 orang (23 keluarga) dan Tangkak 24 mangsa daripada tiga keluarga,” menurut kenyataan itu.

Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Batu Pahat ketika dihubungi Bernama malam ini memaklumkan, paras air juga didapati sudah semakin surut di beberapa kawasan di daerah berkenaan.

“Kita jangkakan akan lebih ramai mangsa yang dibenarkan pulang ke rumah, memandangkan keadaan cuaca yang baik,” katanya.

Cuaca diramalkan cerah di kesemua 10 daerah pada malam ini.

– BERNAMA


Pengarang :