Mangsa banjir ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Muafakat MBPG Kampung Cahaya Baru, Masai, Johor Bahru pada 1 Mac 2023 selepas rumah mereka di Kampung Sentosa Damai dinaiki air. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Banjir: KPDN gerak bank makanan, elak mangsa terputus bekalan

KUANTAN, 4 MAC: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menggerakkan bantuan bank makanan ke kawasan terjejas banjir di negeri terbabit terutama di lokasi mangsa yang terputus hubungan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata inisiatif itu dilaksana bagi mengelakkan mereka yang ‘terkepung’ akibat banjir terputus bekalan makanan dan barangan keperluan.

“Kita dapat maklumat ada lokasi yang penduduknya terkepung dengan banjir dan mereka tidak boleh keluar beli barangan keperluan, jadi kita akan hantar bekalan daripada bank makanan kepada mereka.

“Setakat ini, KPDN Pahang dan Johor aktif membantu mangsa dengan menghantar makanan sedia dimakan seperti biskut, roti dan air mineral ke pusat pemindahan sementara (PPS) tapi bila ada permintaan di kawasan terkepung banjir, kami juga akan gerakkan petugas masuk ke kawasan itu untuk membantu dengan bank makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Inisiatif Payung Rahmah di TMG Mall di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang Sim Chon Siang.

Mengulas lanjut, Fuziah berkata barangan bank makanan diperoleh hasil sumbangan rakan strategik kementerian yang sentiasa sedia bekerjasama untuk membantu golongan memerlukan.

Menyentuh program hari ini, beliau berkata seramai 100 asnaf sekitar daerah Kuantan menerima Bakul Rahmah yang bertujuan mengurangkan beban kos sara hidup golongan itu.

Inisiatif Payung Rahmah yang dilaksanakan turut merangkumi Program Jualan Rahmah, Pakej Rahmah dan Menu Rahmah.

Restoran makanan segera Chicago Chicken City turut mengambil bahagian melaksanakan inisiatif Menu Rahmah yang menawarkan hidangan nasi bersama seketul ayam dan minuman milo pada harga RM5 di semua 11 cawangannya di seluruh negara.

– BERNAMA


Pengarang :