Rumah di Kampung Jamari, Mersing dinaiki air susulan hujan berterusan ketika tinjauan pada 29 Januari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Banjir Mersing pulih, jumlah mangsa tiga negeri terus catat penurunan

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Jumlah mangsa banjir di tiga negeri terus mencatatkan penurunan setakat 2 petang ini, dengan antara lain menyaksikan keadaan banjir di daerah Mersing, Johor kembali pulih.

Di JOHOR, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan kesemua mangsa di daerah Mersing dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.

Menurut JPBN, jumlah mangsa banjir menurun sedikit kepada 44,779 orang setakat 2 petang ini, berbanding 44,937 orang yang direkodkan pada 8 pagi dengan 12,683 keluarga masih ditempatkan di 169 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah.

“Batu Pahat kekal daerah paling teruk terjejas dengan 39,951 orang daripada 11,169 keluarga; diikuti Muar dengan 2,534 orang (763 keluarga); Tangkak dengan 1,662 orang (597 keluarga); dan Segamat 632 orang (154 keluarga),” menurut kenyataan jawatankuasa itu.

Lapan sungai masih melepasi aras bahaya, antaranya Sungai Batu Pahat di Empangan Bekok (Batu Pahat) yang kini berada pada paras 19.67 meter (m); Sungai Muar di Bukit Kepong, Muar (4.25m) dan Sungai Senggarang di Senggarang, Batu Pahat (3.53m).

Di PAHANG, Sekretariat JPBN melaporkan jumlah mangsa banjir di Rompin petang ini sedikit menurun kepada 170 orang yang ditempatkan di dua PPS berbanding 172 orang pagi tadi.

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir di Jasin menurun kepada 353 orang daripada 90 keluarga pada 2 petang ini berbanding 380 orang daripada 99 keluarga pada 8 pagi tadi.

Sekretariat JPBN memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan di lima PPS, antaranya di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Mendapat yang melibatkan 25 mangsa daripada tujuh keluarga.

“Seramai 122 orang daripada 29 keluarga ditempatkan di SK Parit Penghulu, 29 orang daripada 13 keluarga di SK Parit Gantong, 155 orang daripada 37 keluarga di SK Batu Gajah dan 22 orang daripada empat keluarga di SK Sungai Rambai,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA


Pengarang :