Fasa pertama projek pembangunan Rumah Idaman di Pangsapuri Idaman Abadi, Persiaran Tropicana Heights, Semenyih, Kajang siap sepenuhnya awal Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Bantu rakyat beli rumah, Bank Negara disaran semak kelulusan pinjaman

SHAH ALAM, 3 MAC: Pinjaman perumahan yang ketat menjadi faktor rakyat tidak mampu membeli kediaman sendiri, kata EXCO perumahan.

Justeru, Rodziah Ismail menyarankan Bank Negara Malaysia (BNM) meneliti semula kaedah pinjaman terutama kepada golongan berpendapatan bawah RM10,000.

“Pinjaman sukar diperoleh termasuk melibatkan pembelian rumah kos rendah dan mampu milik. Mereka diberikan tawaran tetapi pinjaman tak lepas. Jadi tak boleh beli kediaman.

“BNM kena lihat aspek ini. Apakah kaedah untuk pastikan mereka boleh buat pinjaman seperti membeli kereta. Harga kereta yang sama dengan rumah lebih mudah pinjamannya malah bayaran bulanan rendah,” katanya kepada SelangorKini.

Semalam, timbalan menteri pembangunan kerajaan tempatan memberitahu Dewan Rakyat kebanyakan penduduk tidak mampu membeli rumah kerana tidak mempunyai pendapatan mencukupi selain tahap keberhutangan yang tinggi.

Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata perkara tersebut dinyatakan dalam kajian dilaksanakan BNM selain peningkatan harga rumah sehingga 4.1 peratus setiap tahun.


Pengarang :