EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail (empat dari kanan) bergambar bersama penerima program Bantuan Blueprint Pembasian Kemiskinan ketika Jelajah Kita Selangor Penyayang di Pusat Penjaja Taman Putra Perdana, Sepang pada 11 Mac 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Bantuan alat niaga tambah pendapatan usahawan kecil negeri

Oleh SUHAILA SHAHRUL ANNUAR

SEPANG, 11 MAC: Bantuan peralatan dan kelengkapan perniagaan meningkatkan kapasiti pengeluaran sekali gus menambah pendapatan bulanan usahawan kecil-kecilan.

Peniaga makanan, Nor Shahidah Kamaruddin, 35, berkata menerusi Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan beliau menerima dapur masak dan periuk bernilai kira-kira RM8,000.

Nor Shahidah Kamaruddin

“Dengan peralatan dapur masak dan periuk lebih besar yang saya diterima, kini saya boleh sediakan makanan untuk 100 hingga 200 orang berbanding sebelum ini 50 hingga 100 orang saja.

“Ia secara tidak langsung boleh menambah pendapatan selain menjimatkan masa untuk penyediaan makanan,” katanya yang mengusahakan perniagaan katering secara kecil-kecilan.

Majlis simbolik penyerahan bantuan berkenaan disempurnakan EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail pada program Jelajah Kita Selangor Penyayang (JKSP) Sepang hari ini.

Siti Norzeney Mahmud

Manakala peniaga makanan sejuk beku, Siti Norzeney Mahmud, 32, berkata beliau menerima bantuan peti sejuk dan peti sejuk beku bernilai kira-kira RM7,000.

“Jika dulu peti sejuk beku saya hanya boleh menyimpan stok kira-kira 10 bungkus makanan, namun dengan bantuan ini kapasitinya lebih besar iaitu boleh menyimpan 20 hingga 25 bungkus makanan sejuk beku.

“Kemudahan diberikan Kerajaan Negeri ini sangat membantu menambah pendapatan kami sebagai peniaga kecil-kecilan,” katanya.

Dalam belanjawan Selangor 2023 Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan program bantuan itu diteruskan tahun ini dengan peruntukan berjumlah RM2 juta.

Bantuan berbentuk peralatan atau mesin itu diwujudkan khusus untuk membantu golongan dalam kalangan penjaja, peniaga atau yang bekerja sendiri di negeri ini.


Pengarang :