Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub (tengah) beramah mesra bersama kakitangan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ketika mengadakan lawatan di pejabat SSM selepas Perasmian Bangunan Pejabat SSM di Ayer Keroh, Melaka pada 18 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Baucar RM300 untuk 1,000 mangsa banjir beli peralatan elektrik

MELAKA, 18 MAC: Seramai 1,000 mangsa banjir daripada golongan miskin tegar dan B40 di Johor serta sebahagian Pahang bakal menerima baucar bernilai RM300 di bawah inisiatif Payung Rahmah, khusus untuk membeli peralatan elektrik.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata baucar itu bertujuan membantu golongan terkesan khususnya di Batu Pahat dan Segamat, membeli peralatan elektrik seperti mesin basuh dan peti sejuk, bagi menggantikan peralatan yang musnah akibat bencana.

Beliau berkata hasil berkolaborasi antara pihaknya dengan syarikat pengeluar barangan elektrik, mangsa banjir itu juga akan ditawarkan untuk membeli peralatan elektrik pada harga diskaun.

“Syarikat ini mungkin menjual pada harga diskaun, dan pada masa sama KPDN akan top-up RM300 lagi menerusi baucar itu bagi mereka (mangsa) membeli peralatan baharu (menggantikan) yang musnah akibat banjir,” katanya.

Katanya semua data mengenai agihan inisiatif itu akan dilakukan oleh pegawai kementeriannya bermula hari ini, bagi memastikan mereka yang menerimanya adalah benar-benar golongan miskin tegar dan B40 yang terkesan akibat banjir.

Salahuddin berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan bangunan pejabat baharu Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Melaka di Kota Fesyen, MITC Ayer Keroh di sini hari ini.

Setakat pagi ini, Batu Pahat masih menjadi daerah yang paling terjejas dengan banjir, melibatkan 21,089 mangsa daripada 6,031 keluarga ditempatkan di 81 PPS manakala Segamat pula masih terdapat 38 mangsa yang terjejas daripada 13 keluarga dan mereka ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara.

– BERNAMA


Pengarang :