Sejak mentadbir mulai 2008, Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Harapan (dahulunya Pakatan Rakyat) membelanjakan antara RM500 juta hingga RM600 juta bagi membantu kanak-kanak, wanita, pelajar, orang kurang upaya, petani dan peniaga kecil dalam bidang kesihatan, pendidikan, perumahan dan keusahawanan.
Bermula dengan inisiatif Merakyatkan Ekonomi Selangor kepada Iltizam Selangor Penyayang (ISP), pakej bantuan berkembang seiring dengan pertumbuhan pendapatan negeri, sekali gus menjamin kehidupan rakyat Selangor ke arah lebih baik.
Minggu ini, Selangorkini menyiarkan tiga lagi artikel yang menyorot kejayaan Kerajaan Negeri memperhebat sektor pendidikan anak muda, merancakkan pendigitalan menuju negeri pintar dan juga inisiatif memberdaya kaum wanita.
__________________________________________________________________________________________________________
SHAH ALAM, 16 MAC: Berpendapatan RM2,500 sebulan, ditambah upah menghantar anak jiran ke sekolah, belum memadai buat Salina Damsah sekeluarga untuk menampung kehidupan di Lembah Klang.
Namun, penduduk di Dewan Undangan Negeri Taman Templer itu bernasib baik kerana ketika membesarkan lima anak, banyak inisiatif pendidikan disediakan sejak 2008 seterusnya meringankan beban mereka.
Bantuan itu termasuk Hadiah Institut Pengajian Tinggi (HPIPT) berjumlah RM1,000 diterima anaknya yang melanjutkan pengajian ke universiti.
“Anak hendak mula sekolah dapat kelengkapan dan baucar, layak ke universiti diberi pula RM1,000,” katanya kepada Selangorkini pada 15 Ogos lalu.
HPIPT atau kini dikenali Iltizam Mahasiswa Selangor antara inisiatif terawal yang diperkenal Kerajaan Negeri untuk memperkasa pendidikan, membabitkan perbelanjaan keseluruhannya RM411 juta sejak 2017 (rujuk jadual).
Hingga tahun lalu, lebih RM18 juta disalur kepada pelajar dari keluarga berpendapatan bawah RM5,000 menerusi Iltizam Mahasiswa Selangor, antara lapan program bawah Iltizam Pendidikan Selangor.

Iltizam Pendidikan Selangor sebahagian program kebajikan Iltizam Selangor Penyayang (ISP) yang menelan belanja lebih RM600 juta untuk menjayakan 46 pakej.
Selain Iltizam Pendidikan Selangor (8 program), lima lagi kumpulan bantuan bawah ISP ialah Iltizam Pemberdayaan Rakyat Selangor (10), Iltizam Kesihatan Selangor (11), Iltizam Perumahan Selangor (7), Iltizam Keusahawanan Selangor (5) dan Iltizam Mesra Anak Selangor (4).
Dasar itu turut merangkumi Program Tuisyen Rakyat Selangor sejak 2017 yang menerima peruntukan RM38.7 juta. Pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dibantu guru bimbingan beserta modul pembelajaran manakala pelajar kategori sama tetapi mampu belajar sendiri menerima modul pembelajaran.
Baik pulih sekolah
Tahun ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan RM7 juta bagi membiayai program berkenaan.
Manfaatnya diterima 50,000 pelajar Tingkatan Empat dan Lima sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pembiayaan pendidikan anak negeri ini turut menjadi agenda utama yang dijayakan menerusi skim Peduli Siswa. Sejumlah RM71.9 juta diperuntuk kepada Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Selangor dalam tempoh 2018 hingga 2022.
Pakej itu menawarkan tujuh jenis pembiayaan merangkumi Biasiswa Khas Dato’ Menteri Besar, Bitara, Pinjaman Boleh Ubah Dalam Negara dan Pinjaman Boleh Ubah Luar Negara. Menariknya, manfaat itu turut dirasai penjawat awam Selangor, tetap atau kontrak, yang ingin melanjutkan pelajaran.

Kerajaan Negeri menerusi ISP turut memperuntuk dana bagi membaik pulih dan membaiki infrastruktur sekolah. Sejumlah RM175 juta diperuntuk sejak 2017 dengan tahun ini membabitkan dana RM26.5 juta.
Pemohon Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor membabitkan sekolah kebangsaan, sekolah menengah kebangsaan, sekolah mubaligh, sekolah agama rakyat atau sekolah rendah agama integrasi berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor dan maahad integrasi tahfiz sains.
Selain pakej bantuan terbabit, Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor pula diwujudkan bagi meningkatkan keupayaan anak muda negeri ini dan pemberian pinjaman komputer riba untuk pelajar B40 bawah Skim Pinjaman Teknologi Asas Selangor.
Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) yang mengendalikan Skim Bantuan Tadika Selangor (Tunas) dan Skim Bantuan Asuhan Anakku Pintar (Asuh Pintar) memudahkan permohonan bantuan yuran bulanan RM50 serta RM100.