Sukarelawan membersihkan rumah penduduk ketika Misi Bantuan Selangor Penyayang : Bantuan Pembersihan Pasca Banjir Johor Darul Takzim di Kampung Jawa Baru Chaah, Johor pada 9 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Berpantang di PPS selepas bersalin, kenangan buat ibu, bayi

BATU PAHAT, 24 MAC: Pengalaman berpantang 10 hari di pusat pemindahan sementara (PPS) menjadi kenangan buat seorang ibu di Parit Yaani di sini.

Nur Hidayah Abd Rashid, 28, bersama bayi berusia seminggu dan ibunya, Norazizah A Rahman, 57, terpaksa berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Soga pada 1 Mac lepas, selepas rumah mereka dilanda banjir.

“Saya tinggal di Labis, Segamat, dan bersalin anak kedua di Hospital Sultanah Nora Ismail di sini, selepas seminggu bersalin tidak sangka rumah kampung dilanda banjir dan saya terpaksa berpantang di PPS demi keselamatan kerana air banjir naik begitu cepat.

“Ketika berada di PPS, kebajikan saya dan bayi tetap dijaga terutamanya pihak Kementerian Kesihatan yang selalu memantau saya dan bayi,” katanya ditemui selepas Majlis Penyampaian Bantuan Mangsa Banjir di SK Bukit Soga di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Sri Gading Aminolhuda Hassan dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP) Ezahar Abu Sairin.

Sementara itu, Rosemaniza Che Seman, 48, bersyukur kerana akhirnya dapat pulang dan menjalani ibadah puasa di rumahnya di Parit Besar, setelah hampir dua minggu ditempatkan di PPS.

Katanya, pada mulanya dia bimbang tidak dapat berpuasa di rumah memandangkan banjir kali ini agak dalam dan mengambil masa lama untuk surut berbanding sebelum ini.

Dalam pada itu, Aminolhuda berkata pihaknya bersedia membantu mereka yang terjejas, khususnya penduduk dalam kawasan Parlimen Sri Gading, termasuk menjadi rujukan untuk mendapatkan bantuan yang disediakan kerajaan.

“Saya juga ingin menasihatkan kepada mangsa banjir yang ada masalah kesihatan segera mendapatkan rawatan, selain itu mangsa banjir juga diingatkan melupuskan barangan dengan cara betul bagi mengekalkan kebersihan kawasan kediaman,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :