Tangkap layar rakaman video ucapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena Ramadan dan program tadabbur al-Quran sehari satu ayat.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Bina kasih sayang dalam keluarga, hindari keganasan (VIDEO)

SHAH ALAM, 29 MAC: Umat Islam bertanggungjawab membina rumah tangga yang dilimpahi kasih sayang lantaran ia sebahagian maqasid syariah.

Dalam program Tadabbur al-Quran bersama Ustaz Roslan Mohamed, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Islam menuntut umatnya membina keluarga bahagia dan mencegah porak-peranda termasuk keganasan.

“Semoga Ramadan al-Mubarak ini mengeratkan hubungan semasa keluarga dengan aktiviti seperti qiamullail dan iftar bersama,” katanya ketika mengulas ayat 21 Surah ar-Rum.

Bekas pensyarah kanan Universiti Malaya Ustaz Roslan Mohamed pula berkata perkahwinan bertujuan membina kasih sayang dan bukannya perpecahan.

“Kalau ada orang terajang, pukul, maki isteri atau pukul suami, ini sesuatu yang tidak menepati kehendak agama. Ini satu jenayah yang tidak diizinkan Allah,” katanya.

Roslan juga menjelaskan Islam tidak menggalakkan penceraian tetapi menetapkan hukum makruh untuk perbuatan berkenaan.

“Kahwin itu maknanya kita nak mawaddah (kasih sayang) dan warahmah (menghormati). Kata ulama berkahwin itu Allah aturkan bukan kita. Apabila rumah tangga harmoni negara pun harmoni,” katanya.

Program Tadabbur al-Quran anjuran Pejabat Dato’ Menteri Besar dan Media Selangor membaca satu ayat setiap hari sepanjang Ramadan.

Majlis bermula 23 Mac lalu dipancar melalui media sosial Pejabat Dato’ Menteri Besar dan Media Selangor.

Antara tadabbur yang boleh diikuti seperti berikut:

Episod satu – kepentingan infak harta
Episod dua – bersyukur bukti keimanan
Episod tiga – taubat kunci keampunan-Nya
Episod empat – taati ibu bapa
Episod lima – istiqamah dalam beramal
Episod enam – sifat amanah ketika memimpin


Pengarang :