EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian menjawab soalan pada mesyuarat Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor ke-14 di Dewan Negeri Selangor (DNS), Shah Alam pada 14 Mac 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Bina ladang solar berskala besar di kolam terbiar, tangani perubahan iklim

SHAH ALAM, 14 MAC: Kerajaan Selangor sedang mengenal pasti lokasi untuk membina ladang solar berskala besar, terutamanya di kolam-kolam terbiar di negeri tersebut, bagi menghasilkan tenaga boleh diperbaharui dalam usaha menangani isu perubahan iklim.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata selain projek berkenaan, kerajaan negeri juga merancang untuk memasang panel solar di beberapa bangunan tertentu, seperti bangunan kerajaan negeri.

”Kerajaan Selangor juga merancang untuk melaksanakan projek mengubah sisa menjadi tenaga (waste-to-energy) di Jeram, Kuala Selangor dan Tanjung Dua Belas, Kuala Langat supaya sampah-sampah yang dibakar boleh menjana tenaga diperbaharui,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Bersatu-Bukit Antarabangsa) berkenaan rancangan kerajaan negeri menangani isu perubahan iklim dan pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sementara itu, beliau memaklumkan kerajaan Selangor menyediakan geran-geran kecil kepada komuniti sebanyak RM20,000 setiap satu dengan peruntukan berjumlah RM2 juta setiap tahun sebagai galakan kepada komuniti menjalankan projek penghijauan kawasan.

-BERNAMA

 


Pengarang :