Bangunan Bank Negara Malaysia – Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

BNM: Kadar OPR kekal 2.75 peratus

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 2.75 peratus semasa mesyuaratnya hari ini.

MPC berkata dalam ekonomi global, terdapat beberapa perkembangan positif seperti pembukaan semula ekonomi China dan pertumbuhan yang lebih baik daripada jangkaan dalam ekonomi utama, yang disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan.

Bagaimanapun, ekonomi global terus terjejas dengan peningkatan kos termasuk kadar faedah yang lebih tinggi.

Inflasi utama menyederhana sedikit daripada paras tertinggi dalam beberapa bulan kebelakangan ini, tetapi inflasi teras kekal di atas purata sejarah.

“Sesetengah bank pusat dijangka terus menaikkan kadar faedah untuk menguruskan tekanan inflasi. Ini akan terus menimbulkan halangan kepada prospek pertumbuhan global.

“Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan, terutamanya disebabkan oleh ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan dan keadaan pasaran kewangan yang menjadi ketat secara ketara,” katanya dalam satu kenyataan.

Ekonomi Malaysia berkembang kukuh sebanyak 8.7 peratus pada 2022, didorong oleh pemulihan perbelanjaan sektor swasta dan awam berikutan pembukaan semula ekonomi sepenuhnya.

Selepas menunjukkan prestasi yang kukuh pada tahun 2022, ekonomi dijangka menjadi sederhana pada 2023 berikutan ekonomi global yang lebih perlahan

“Pertumbuhan akan terus didorong oleh permintaan dalam negeri. Perbelanjaan isi rumah akan disokong oleh prospek pekerjaan dan pendapatan yang terus bertambah baik. Ketibaan pelancong dijangka terus bertambah lantas menggiatkan lagi aktiviti berkaitan pelancongan,” kata MPC lagi.

Sementara itu, kemajuan berterusan dalam projek infrastruktur berbilang tahun akan menyokong aktiviti pelaburan.

Pelaksanaan projek-projek daripada Belanjawan 2023 yang dibentangkan semula baru-baru ini akan memberikan risiko peningkatan kepada prospek pertumbuhan domestik.

Risiko penurunan terus dipengaruhi perkembangan global termasuk kemerosotan pertumbuhan yang lebih lemah daripada jangkaan atau keadaan kewangan global yang lebih ketat dan tidak menentu.

“Inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka menjadi sederhana sepanjang tahun 2023 tetapi akan kekal tinggi berikutan faktor permintaan dan kos yang berlarutan.

“Tahap tekanan inflasi yang meningkat akan terus dibendung sebahagiannya oleh kawalan harga dan subsidi bahan api sedia ada serta lebihan kapasiti dalam ekonomi yang masih ada,” katanya.

Imbangan risiko terhadap prospek inflasi cenderung ke arah inflasi menjadi lebih tinggi dan kekal sangat bergantung pada sebarang perubahan pada dasar dalam negeri berhubung dengan subsidi dan kawalan harga serta perkembangan harga komoditi global.

Katanya lagi, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi.

“MPC akan terus menilai kesan pelarasan OPR secara kumulatif memandangkan kesan sela masa dasar monetari terhadap ekonomi.

“MPC terus berwaspada terhadap faktor kos yang boleh menjejaskan prospek inflasi, termasuk faktor yang disebabkan oleh perkembangan pasaran kewangan,” katanya.

Langkah seterusnya untuk mengembalikan tahap akomodasi dasar monetari ke tahap yang wajar akan ditentukan oleh keadaan yang berubah-ubah serta kesannya terhadap prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

MPC akan terus menetapkan dasar monetari yang mengimbangi risiko inflasi dalam negeri dan pertumbuhan yang mampan.

– BERNAMA


Pengarang :