Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan titah pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada 14 Februari 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Cadangan MRSM berbayar, kos haji antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 23 MAC: Cadangan mewujudkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar kepada golongan yang berkemampuan dijangka dibangkitkan di mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (PH-Muar) bertanyakan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengenai perkara itu pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) sejurus sidang Dewan Rakyat bermula pada 10 pagi.

Syed Saddiq ingin mengetahui mengenai proses dan sumber pendanaan untuk membina MRSM berbayar serta proses pemilihan pelajar bagi kemasukan ke sekolah berkenaan.

Turut menarik perhatian, persoalan mengenai asas pertimbangan kerajaan meletakkan kos perbelanjaan jemaah haji berdasarkan kategori pendapatan B40, M40 dan T20 yang dibangkitkan Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena) kepada Perdana Menteri.

Pada sesi soal jawab lisan, Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) meminta Menteri Kesihatan menyatakan sama ada kerajaan mempunyai perancangan untuk membina parkir bertingkat di seluruh hospital kerajaan bagi menyelesaikan isu kekurangan tempat letak kereta yang kritikal.

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) pula bertanyakan Menteri Dalam Negeri mengenai bilakah pindaan Perlembagaan Persekutuan dapat dibuat bagi membolehkan anak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing, diberi kewarganegaraan automatik.

Selesai sesi itu, persidangan Dewan Rakyat akan diteruskan dengan perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di peringkat jawatankuasa.

— BERNAMA


Pengarang :