EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han bercakap dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Kita Selangor: Iltizam Rekabentuk Sejagat Ke Arah Negeri Inklusif di Hotel Sunway Resort, Subang Jaya pada 7 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Daftar segera tapak perkhemahan untuk beroperasi secara sah

SUBANG JAYA, 7 MAC: Pengusaha tapak perkhemahan di negeri ini diminta segera mendaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya dapat beroperasi secara sah.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han mengharapkan kerjasama daripada pihak terlibat bagi mengumpul data sekali gus melancarkan proses penyediaan garis panduan.

“Kerjasama (daripada pengusaha tapak perkhemahan) amat menggalakkan terutama di Hulu Selangor, Ampang Jaya dan Kajang yang mempunyai banyak tapak perkhemahan.

“Malah operator tapak perkhemahan di Hulu Selangor menubuhkan persatuan bagi memastikan lebih ramai mendaftar. Jadi kita menggalakkan semua pengusaha untuk tampil ke depan,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Persidangan Kita Selangor: Iltizam Rekabentuk Sejagat Ke Arah Negeri Inklusif di Hotel Sunway Resort di sini hari ini.

Dalam pada itu, Sze Han berkata tindakan tegas boleh diambil sekiranya pengusaha enggan berdaftar dan gagal mematuhi garis panduan keselamatan yang ditetapkan.

“Perkara ini ditegaskan semasa sesi libat urus penyediaan garis panduan dengan pengurus perkhemahan baru-baru ini,” katanya lagi.

Bermula 1 Februari lalu, semua pengusaha tapak perkhemahan di Selangor diwajibkan berdaftar dengan PBT bagi menjamin keselamatan pengunjung.

Keputusan itu dibuat susulan tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Batang Kali pada Disember tahun lalu, yang mengorbankan 31 nyawa.


Pengarang :