Masjid Istana Diraja yang terletak dalam pekarangan Istana Alam Shah di Klang. Foto Facebook Selangor Royal Office
BERITA UTAMABUDAYARENCANA

Dana ratusan juta untuk Islam tiap tahun, bela kebajikan guru agama

Sejak menang pada 2008, Kerajaan Negeri bawah pentadbiran Pakatan Harapan (dahulunya Pakatan Rakyat) memberi perhatian besar pada kemajuan Islam.

Sempena 15 tahun pentadbiran gabungan itu, Selangorkini turut memuatkan rencana usaha negeri membantu peniaga kecil dan anak muda meningkatkan sosioekonomi mereka. Fokus dua kumpulan ini disediakan di halaman 14 dan 15.

Wartawan Amin Ridzuan Ishak menyorot usaha pembangunan Islam dengan jumlah dana yang besar bagi menyediakan pendidikan agama dan menyelenggara pusat ibadah.

Kerajaan Selangor tidak pernah mengabaikan usaha memperkasa Islam, malah ia semakin dipergiat. Dalam tempoh lima tahun sejak 2018, kira-kira RM1.4 bilion disalur, tidak termasuk RM583 juta dilulus dalam Belanjawan Selangor 2023.

Antara 2019 hingga 2022, Kerajaan Negeri memperuntuk dana RM105 juta setahun untuk pengurusan dan penyelenggaraan sekolah agama, masjid dan surau di seluruh Selangor.

Dalam tempoh sama, Kerajaan Negeri menyediakan RM185 juta bagi membina dan membaik pulih 78 buah masjid dan 75 surau, kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Twitter.

Beliau juga mengumumkan pembinaan beberapa masjid baharu di Petaling, Gombak dan Klang selain pembayaran emolumen pengurusan masjid, surau dan institusi pendidikan Islam.

Elaun guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) juga dinaikkan kepada RM1,500, jumlah tertinggi di Malaysia bagi mencapai kadar gaji minimum seperti pekerja dalam sektor lain.

Membangunkan institusi ibadah Islam menerusi pembangunan prasarana diutamakan. Kerajaan Negeri terus menyalur sumber kewangan untuk masjid dan surau seiring perkembangan masa.

Bantuan meliputi semua kawasan melalui program-program untuk memastikan ajaran Islam terus dimartabat. Sumbangan diagih kepada institusi itu memberi keselesaan kepada jemaah seterusnya menyemarakkan nilai Islam dalam masyarakat.

Sejak 2018 hingga 2022, Kerajaan Negeri menyalur dana RM20 juta atau RM4 juta setahun bagi mengurus masjid dan surau.

Turut disalur jutaan ringgit untuk mengimarahkan bulan puasa, sumbangan hari raya, bantuan khas raya bagi petugas masjid dan insentif khas Ramadan serta Aidilfitri.

Sultan puji

Usaha itu mendapat pujian Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang menzahirkan rasa sukacita Baginda dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) pada 13 Mac.

“Beta menyambut baik langkah kerajaan Beta untuk terus memperkasa syiar Islam di bumi Selangor Darul Ehsan ini.

“Untuk tahun ini, sebanyak RM65 juta telah disediakan khusus bagi tujuan pembangunan sekolah agama, masjid dan surau serta pejabat agama Islam,” titah Baginda ketika pembukaan sidang DNS.

Pada 23 Ogos 2021, Baginda berkenan langkah Kerajaan Negeri menyediakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada ribuan guru kelas Kafa.

Tahun ini, bantuan dilanjutkan pula kepada 2,825 guru Kafa yang menikmati kenaikan elaun kepada RM1,500 sebulan mulai Januari lalu sebagai komitmen menjaga kebajikan kumpulan itu.

Keprihatinan membangunkan pendidikan Islam turut diserlahkan dengan dana RM102.3 juta disediakan, antaranya untuk baik pulih prasarana, pembayaran elaun guru serta penyediaan kelengkapan.

Usaha berkenaan turut dibantu agensi dan anak syarikat negeri seperti Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI yang turut memikul tanggungjawab itu. Hampir RM850,000 dibelanjakan untuk meringankan beban sekolah rendah agama sejak 2019 hingga 2022.

Sumbangan itu memanfaatkan 85 sekolah untuk menjalankan program motivasi, baik pulih kemudahan, pembelian peralatan seperti komputer dan sumbangan kepada murid kurang berkemampuan.


Pengarang :