AGENDANASIONAL

DBP belanja dana RM20 juta bantu penerbit ketengah karya terjemahan

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sedang merangka mekanisme terbaik untuk memastikan peruntukan yang akan diberikan kerajaan menerusi Belanjawan 2023 turut memanfaatkan para penerbit bagi membantu negara mengetengahkan karya terjemahan bermutu.

DBP dalam kenyataan hari ini memaklumkan antara perkara yang akan diberi tumpuan ialah penterjemahan karya asli dan karya agung dalam bahasa Melayu kepada bahasa asing serta dalam bahasa asing kepada bahasa Melayu, penerbitan karya agung dan penerbitan terpilih.

“Karya penulis yang berimpak tinggi dalam konteks keilmuan, falsafah dan pemikiran akan menjadi tumpuan dalam penterjemahan dan penerbitan karya demi membangunkan tamadun bangsa. Pemerkayaan khazanah dan kepustakaan ilmu ini juga merupakan antara strategi utama dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan perkara tersebut selaras dengan matlamat penubuhan DBP yang tercatat dalam Akta DBP (semakan tahun 1978, pindaan dan peluasan 1995) yang menyatakan antara objektif utama penubuhannya.

Objektif tersebut termasuk mencetak, menerbitkan atau membantu dalam percetakan dan penerbitan buku, majalah, risalah serta bentuk lain karya kesusasteraan dalam bahasa kebangsaan dan bahasa lain.

Bagi menggerakkan usaha seperti yang dihasratkan kerajaan, DBP akan mengadakan perbincangan dengan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Yayasan Karyawan dalam tempoh terdekat untuk merangka hala tuju penerbitan serta penterjemahan yang lebih fokus.

“DBP tidak akan bersendirian dan sentiasa terbuka dalam mendengar pandangan pelbagai pihak untuk memastikan mekanisme terbaik dapat diambil bagi memanfaatkan RM20 juta yang diperuntukkan oleh kerajaan,” menurut kenyataan itu.

Pada 24 Feb lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan memperuntukkan sejumlah RM20 juta juta kepada tiga agensi bagi menggalakkan aktiviti terjemahan dan penerbitan iaitu DBP, ITBM dan Yayasan Karyawan.

-BERNAMA


Pengarang :