Ketua Pengawai Eksekutif C4 Center Pushpan Murugiah (kanan) bersama sebahagian peserta ketika program permainan ‘Build My Town’ anjuran Dewan Undangan Negeri Bandar Utama di kafe Creme La Creme, Damansara Utama pada 11 Mac 2023. Foto SHAMZ JOHAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Didik masyarakat tolak rasuah, amal tadbir urus baik menerusi permainan kad interaktif

Oleh SHAMZ JOHAN

PETALING JAYA, 12 MAC: Pusat Memerangi Rasuah dan Kronism (C4 Center) mendidik masyarakat tentang tadbir urus yang baik dan penolakan terhadap elemen rasuah menerusi permainan kad interatif ‘Build My Town’.

Ketua Pegawai Eksekutifnya berkata permainan yang mula diperkenal pada November lalu membantu masyarakat memperoleh maklumat berhubung peranan dan tanggungjawab ahli parlimen secara santai.

Ketua Pengawai Eksekutif C4 Center Pushpan Murugiah

“Inisiatif membina permainan kad ini bermula sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-15 dan dikeluarkan pada November 2022. Matlamat kita adalah untuk memberi kesedaran tentang amalan korupsi dan fungsi seorang wakil rakyat.

“Permainan ini diharap jadi alat bantu mengajar selain menguji pemahaman orang ramai mengenai tugas dan tanggungjawab seorang menteri, ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri dalam proses membuat undang-undang dan polisi,” kata Pushpan Murugiah.

Terdahulu, beliau menghadiri program permainan ‘Build My Town’ anjuran Dewan Undangan Negeri Bandar Utama yang disertai lebih 50 individu di kafe Creme La Creme, Damansara Utama di sini, semalam.

Puspan menambah, kefahaman dan kesedaran orang ramai tentang bahaya susulan amalan rasuah membantu negara melahirkan pemimpin yang lebih berintegriti.

“Kita juga terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk menyebarkan kesedaran tentang pembasmian amalan korupsi dan mempromosikan tata kelola yang baik,” katanya lagi.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai permainan ini di laman web www.c4center.org dan Facebook C4 Center.


Pengarang :