Speaker Dewan Negeri Selangor Ng Suee Lim bercakap kepada pemberita mengenai jawatan ketua pembangkang ketika persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-14 tahun 2023 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 14 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

DNS: Tiada lantikan baharu, ketua pembangkang belum letak jawatan

SHAH ALAM, 14 MAC: Tiada lantikan ketua pembangkang baharu di Dewan Negeri Selangor (DNS) berikutan penyandang sedia ada belum menghantar surat peletakan jawatan setakat ini.

Speaker Ng Suee Lim memaklumkan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Air Tawar Datuk Rizam Ismail tidak meletak jawatan meskipun Pakatan Harapan dan Barisan Nasional membentuk kerajaan persekutuan.

“Setakat ini belum terima surat. Tidak beri kesan kepada DNS. Mungkin hari ini Rizam sibuk ada urusan, tetapi kita akan beri ruang kepada blok pembangkang untuk bahas dalam masa yang diberikan.

“Daripada segi tatacara, sepatutnya saya akan menerima surat daripada Rizam yang mengatakan dia tidak mahu menjadi ketua pembangkang, baru saya akan buat keputusan,” katanya ditemui hari ini.

Sebelum itu, wakil rakyat Bukit Antarabangsa Dato’ Seri Azmin Ali membangkitkan Peraturan Mesyuarat ke-87 meminta Suee Lim mengeluarkan aturan berkenaan kedudukan ketua pembangkang.

Beliau turut mencadangkan ADN Sijangkang Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi dilantik sebagai ketua pembangkang baharu bagi mewujudkan suasana yang sihat dan efektif.

Sementara itu, Suee Lim berpendapat Mohamed Azmin lebih sesuai dilantik sebagai ketua pembangkang menggantikan Rizam berdasarkan pengalaman dan kelayakannya berbanding wakil rakyat lain.

“Beliau bekas menteri besar dan menteri. Paling lama dalam dewan selama lima penggal. Beliau juga sekarang bukan ahli parlimen dan mempunyai banyak masa untuk menjadi ketua pembangkang,” katanya.


Pengarang :