AGENDANASIONAL

Dua beradik terperangkap setengah jam dalam kereta terkunci sendiri

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Dua beradik yang terperangkap kira-kira setengah jam di dalam sebuah kenderaan di Persiaran Putra Indah, Putra Heights, Subang Jaya di sini hari ini akibat ‘auto lock’ berjaya diselamatkan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Morni Mamat berkata mangsa berusia 16 bulan dan empat tahun.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu pada 3.30 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya dikerah ke lokasi kejadian.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati sebuah kereta telah terkunci serta terdapat dua kanak-kanak di dalamnya… mereka kemudian selamat dikeluarkan oleh keluarga mangsa menggunakan kunci pendua,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Morni berkata kenderaan itu dipercayai terkunci akibat ‘auto lock’ dan kedua-dua mangsa berada dalam keadaan selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan atau sesak nafas.

-BERNAMA


Pengarang :