ADNSELANGOR

DUN Batang Kali anjur program ilmu, ajar remaja cara solat yang betul

OLEH AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 9 MAC: Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali menganjurkan program Smart Solat untuk remaja bagi memberi peluang kepada mereka mempelajari amalan solat yang betul.

Program percuma sempena cuti sekolah yang dibuka kepada 50 remaja berusia 12 hingga 17 tahun di sekitar Batang Kali itu diadakan di Surau Tamu Hill Batang Kali pada 18 Mac ini.

Penyelaras DUN Batang Kali berkata program dengan kerjasama Team Selangor Batang Kali dan Usmat Global Management bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang.

“Daripada pemerhatian kita masih ramai peringkat awal remaja yang belum cukup ilmu mengenai amalan solat yang sebenar.

“Melalui program Smart Solat mereka akan didedahkan mengenai kepentingan solat, pakaian solat, bacaan dalam solat, praktikal wuduk serta tayamum, praktikal solat, lantunan doa dan riadah sunnah iaitu memanah,” kata Saifuddin Shafi Muhammad ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau remaja yang berminat berminat menyertai program ini boleh mendaftar dipautan https://forms.gle/onxYGramhBdcEASd6

Dalam pada itu Saifuddin Shafi memberitahu pihaknya akan mengadakan Pertandingan Marhaban Penyelaras DUN Batang Kali di Ballroom Kelab Golf Bukit Beruntung pada 19 Mac ini.

“Pertandingan yang terbuka kepada 10 kumpulan marhaban wanita ini dijalankan dengan kerjasama Pusat Wanita Berdaya (PWB) Batang Kali.

“Orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkan pertandingan ini,” tambahnya.


Pengarang :