Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing R. Rajiv beramah mesra bersama warga emas dalam program kesihatan di Pangsapuri Damansara Bistari, Petaling Jaya pada 28 Februari 2023. Foto Facebook Rajiv Rishyakaran
ADNSELANGOR

DUN Bukit Gasing sedia kaunter bergerak mudahkan warga emas ambil baucar RM150

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 14 MAC: Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Bukit Gasing menyediakan kaunter bergerak pada 18 dan 25 Mac bagi memudahkan warga emas mengambil baucar Jom Shopping.

Wakil rakyatnya R. Rajiv berkata seramai 2,099 peserta Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang belum mengambil baucar RM150 boleh mengunjungi kemudahan berkenaan di Surau Flat Gasing Indah pada 18 Mac dan Cabin Resident Association (25 Mac).

“Sejak Februari lalu, seramai 1,658 daripada 3,757 warga emas yang berdaftar dengan SMUE telah mengambil baucar RM150.

“Kita berharap baki 2,099 warga emas lagi yang belum mengambil baucar berbuat demikian di kemudahan yang disediakan,” katanya yang turut memaklumkan urusan sama boleh dibuat di kaunter perkhidmatan PKM Bukit Gasing.

Rajiv memaklumkan, pihaknya juga menerima 1,200 permohonan baharu SMUE tahun ini dan kesemuanya sedang diproses untuk mendapat kelulusan Kerajaan Negeri.

SMUE diperkenalkan lebih sedekad lalu bagi menghargai warga emas negeri ini dengan setiap ahli mendapat manfaat baucar hadiah hari jadi serta khairat kematian.

Bermula tahun ini, nilai baucar SMUE ditambah kepada RM150 berbanding RM100 sebelum ini dan jumlah sama turut diberi kepada peserta Skim Mesra Insan Istimewa (SMIS) melibatkan peruntukan RM37.5 juta.


Pengarang :