Petugas Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor bersama petugas DUN Hulu Kelang membuat persediaan sebelum bermulanya program Jelajah Ehsan Rakyat di Dewan Taman Permata, Hulu Kelang pada 9 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

DUN Hulu Kelang anjur lima lagi jualan murah sebelum Ramadan

OLEH DIANA ABD WAHAB

AMPANG JAYA, 9 MAC: Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang akan menganjurkan lima lagi program jualan murah untuk penduduk sebelum Ramadan.

Selain meringankan beban penduduk, Pengurusnya Mohd Helmizan Abdul Karim berkata inisiatif itu bagi memenuhi permintaan supaya Jelajah Ehsan Rakyat (JER) diadakan lebih kerap.

“Mulai Januari hingga Februari kita anjurkan sembilan program dan dua kali pada Mac. Kita rancang adakan lima lagi jualan murah bulan ini sebelum Ramadan bagi bantu penduduk berjimat,” katanya.

Orang ramai membeli barangan keperluan di Jelajah Ehsan Rakyat DUN Hulu Kelang di Dewan Taman Permata, Hulu Kelang pada 9 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Beliau yang ditemui pada program tersebut di sini hari ini memaklumkan lebih 13,000 keluarga sekitar DUN berkenaan menerima manfaat sejak September tahun lalu.

Menurut Mohd Helmizan, sebanyak 31 kali jualan murah diadakan di kawasan itu dan semuanya menerima sambutan baik dengan dihadiri lebih 300 pengunjung pada setiap acara.

Jualan murah itu menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Program kendalian Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor memanfaatkan lebih dua juta penduduk negeri ini sepanjang tiga bulan pelaksanaan antara September hingga Disember tahun lalu.


Pengarang :