Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru tidak melepaskan peluang membeli barangan asas dengan harga murah yang ditawarkan dalam program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) di Taman Sri Perepat, Kapar pada 14 Mac 2023. Foto AZIAN AZIZ/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

DUN Meru cadang PKPS tambah jualan ayam, daging dan telur sepanjang Ramadan

OLEH AZIAN AZIZ

KLANG, 14 MAC: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dicadang menambah jumlah jualan ayam, daging dan telur dalam program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri.

Pegawai Khas Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru Norlena Nayan berkata cadangan itu dibuat kerana tiga barangan berkenaan mendapat permintaan tinggi untuk dijadikan juadah berbuka puasa dan hari raya.

“Jika dapat tambah bermakna lebih banyak keluarga berpendapatan rendah terutama di DUN Meru dapat manfaat dan berjimat,” katanya ketika ditemui di JER DUN Meru di Taman Sri Perepat di sini hari ini.

Norlena memberitahu sepanjang Ramadan ini Pusat Khidmat Rakyat DUN Meru merancang mengadakan dua program JER seminggu.

“Kita telah susun dan hanya menunggu maklum balas daripada PKPS,” jelasnya sambil memaklumkan sejak Januari lalu hingga hari ini sebanyak 15 program JER telah dijalankan di kawasan DUN Meru.

Sementara itu pegawai PKPS Nazira Ahmad berkata hampir 400 penduduk membeli barangan yang ditawarkan hari ini.

“Jualan bermula jam 10 pagi dan empat barangan iaitu telur, ayam, daging dan beras habis dijual jam 11.30 pagi. Jualan ditutup pada jam 11.45 pagi kerana tiada pembeli,” ujarnya.

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal beku (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Inisiatif tersebut memanfaatkan lebih dua juta penduduk Selangor sepanjang tiga bulan pelaksanaan dari September hingga Disember tahun lepas.

Susulan sambutan menggalakkan, Kerajaan Negeri memperluaskan jualan barangan asas murah ke 1,200 lokasi mulai 16 Januari hingga menjelang Mei.


Pengarang :