SHAH ALAM, 29 MAC: Keluarga berpendapatan rendah (B40) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandamaran berpeluang menjana pendapatan menerusi program dapur usahawan digital.
Wakil rakyatnya Tony Leong Tuck Chee berkata program dengan kerjasama Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) turut membantu individu hilang pekerjaan.
“Inisiatif dengan kerjasama Hijrah berkonsep pemberian bantuan kelengkapan bahan mentah, kelas masakan dan kaedah menggunakan aplikasi penghantaran makanan.
“Kerajaan Negeri sudah sediakan platform ini (aplikasi penghantaran makanan), selebihnya kita bantu sediakan bahan mentah, mereka hanya masak di rumah dan penghantar makanan akan ambil pesanan untuk hantar kepada pelanggan,” kata ketika dihubungi.

Tuck Chee memohon ketua kampung untuk segera mengenal pasti keluarga yang layak bagi memastikan sasaran 500 individu menyertai program yang julung kali dianjurkan itu tercapai.
“Baru-baru ini saya sudah memanggil semua ketua kampung sebab kita mahu ketua kampung terlebih dahulu memahami konsep yang ingin dilaksanakan.
“Selepas itu mereka boleh cari mana-mana keluarga susah yang layak untuk program ini. Kita rancang program ini bermula dalam tempoh terdekat,” katanya.