Keadaan sebelum dan selepas gelanggang bola tampar dinaik taraf di Fasa 4 Bandar Country Homes, Rawang. Foto Facebook Chua Wei Kiat
ADNSELANGOR

DUN Rawang belanja RM50,000 naik taraf dua gelanggang bola tampar

SHAH ALAM, 24 MAC: Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang membelanjakan RM50,000 bagi menaik taraf dua gelanggang bola tampar di fasa 4 Bandar Country Homes, Rawang untuk kegunaan penduduk setempat.

Ahli Dewan Negerinya Chua Wei Kiat berkata kemudahan yang selesai ditambah baik Februari lalu turut memudahkan pelajar yang mewakili daerah dan dalam acara bola tampar berlatih.

“Saya sangat gembira kerana dapat lihat anak-anak muda luangkan masa lapang mereka dengan bermain bola tampar.

“Gelanggang ini juga ada disediakan lampu bagi anak-anak muda kita untuk bermain pada waktu malam,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Beliau berkata kemudahan tersebut mampu mengelak anak muda di kawasan terbabit daripada melakukan perkara tidak sihat.

“Kita perlu melihat inisiatif ini bukan sekadar untuk naik taraf gelanggang bola tampar, tetapi objektif besar iaitu dapat menghindarkan anak-anak muda kita daripada melakukan gejala-gejala negatif.

“Saya juga dalam perancangan untuk menambah baik beberapa lagi fasiliti sukan di Rawang. Kemaskini mengenai status fasiliti sukan akan dimaklum dari semasa ke semasa,” katanya.


Pengarang :