EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail (berdiri, tengah) bergambar bersama peniaga selepas membuat lawatan beliau ke gerai pameran di Konvensyen Halal Antarabangsa Selangor (SELHAC) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 12 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Ekosistem keusahawanan Selangor lengkap, bantu peniaga terus berjaya

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Ekosistem keusahawan di Selangor yang lengkap membantu usaha Kerajaan Negeri memperkasa peniaga untuk terus berjaya, kata EXCO pembangunan usahawan.

Rodziah Ismail berkata pelbagai inisiatif disediakan termasuk kemudahan latihan, khidmat nasihat, pinjaman, ruang promosi serta program pembangunan kepada mereka.

“Di bawah Unit Perancang Ekonomi Negeri bagi pembangunan usahawan banyak program ditawarkan bermula daripada penyediaan modal melalui pinjaman, latihan, kemasan produk serta promosi disediakan dalam ekosistem keusahawanan kita.

“Kalau tiada modal kita bagi modal melalui pinjaman disediakan Hijrah (Yayasan Hijrah Selangor). Inilah antaranya yang kita usaha untuk tingkatkan keupayaan mereka,” katanya.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail membuat siaran langsung Facebook ketika melawat gerai pameran di Konvensyen Halal Antarabangsa Selangor (SELHAC) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 12 Mac 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Beliau ditemui selepas melawat gerai pameran pada Persidangan Halal Antarabangsa Selangor (Selhac) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini hari ini.

Menurut Rodziah Selhac antara medan terbaik untuk usahawan meluaskan rangkaian mereka melalui pelbagai program termasuk padanan perniagaan.

“Hari ini saya amat bangga, saya dapat lihat ada usahawan yang dulunya rasa tidak yakin produk mereka boleh pergi jauh tetapi hari ini sudah ke peringkat antarabangsa. Ada juga yang sudah berjaya peroleh pelbagai pensijilan seperti halal.

“Inilah yang kita mahu lihat. Melalui program pengupayaan, usahawan kita terbukti tidak hanya sekadar menunggu peluang yang ada tetapi wujudkan peluang kepada pihak lain termasuk menyediakan pekerjaan,” katanya.

Selhac yang mengangkat tema ‘Selangor, Gerbang Halal Antarabangsa’ berakhir hari ini mengumpulkan kira-kira 200 pempamer.


Pengarang :