OLEH DIANA ABD WAHAB
SHAH ALAM, 14 MAC: Pementasan teater ‘Dari Cherok Tok Kun Ke Putrajaya’ yang mengangkat tema komedi seram memerangi penyalahgunaan dadah akan dipentaskan di Auditorium Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz di sini.
Pengarahnya, Hasrol Hisham Mohd Hassan atau lebih dikenali sebagai Lanun berkata teater yang turut dibintangi ratu rock negara Ella itu bakal dipentaskan pada 26 Mei ini.
Selain Ella, teater ini turut menampilkan barisan pelawak antaranya Imuda, Abu Mamu, Caca Raja Lawak dan Kumpulan Kiut juara Gegarlawak musim pertama.

Teater Komedi Seram Anti Dadah dari Cherok Tok Kun ke Putrajaya di Pejabat MBI, Shah Alam pada 15 Mac 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
“Untuk teater kali ini kita bawa beberapa selebriti terkenal tanah air membuat penampilan istimewa (cameo).
“Antaranya adalah ratu rock negara Ella, Jo Branko (bekas gitaris Wings), Jojie (kakak Ella), Kapten Azhar (suami Ella) dan Chef Yang Jamil.
“Penampilan mereka bagi menyatakan sokongan dalam usaha basmi gejala dadah yang semakin menular khususnya dalam generasi muda,” kata Hasrol Hisham.
Beliau ditemui pada sidang media teater ‘Dari Cherok Tok Kun Ke Putrajaya di Bangunan Darul Ehsan di sini, hari ini.
Tambah Hasrol Hisham, tiket dijual pada harga RM60 (kategori 1) RM80 (Kategori 2) dan RM120 (VIP) dan boleh didapati di www.myicketempire.com.
Program dibawakan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Selangor mendapat kerjasama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Sajian Sejati Sdn Bhd My Creative Ventured dan Resdongs Entertainment.