Keadaan rumah yang terbakar menyebabkan empat beradik maut dalam kebakaran di Kampung Sabak Awor, Muar, Johor pada 29 Mac 2023. Foto Facebook Polis Daerah Muar
AGENDANASIONAL

Empat beradik pesan baju raya warna hitam, ibu terkilan

MUAR, 30 MAC: Empat beradik yang maut dalam kebakaran di Kampung Sabak Awor, di sini malam tadi, sempat menyatakan hasrat memakai baju raya berwarna hitam untuk Aidilfitri tahun ini.

Ibu mereka Nabila Sedu, 31, berkata dia terkilan kerana belum sempat membeli kelengkapan baju raya untuk mereka.

“Ada (pesanan) daripada anak-anak. Mereka hendak baju raya warna hitam…,” kata wanita Orang Asli itu sambil mencium baju anaknya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik, Hospital Pakar Sultanah Fatimah, hari ini.

Dia yang turut ditemani suami yang merupakan warga Myanmar, Thein Ko Htut, 30, kelihatan sebak dan kerap mencium baju tadika dipercayai milik anaknya dan mengesat air mata.

Bagaimanapun, usaha untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripada Nabila dan Thein tidak berhasil, selepas mereka dilihat tergesa-gesa meninggalkan pekarangan Jabatan Forensik, hospital berkenaan.

Difahamkan, pasangan suami isteri itu menetap di rumah sewa di Kampung Sabak Awor bersama empat anaknya, sejak empat tahun lepas.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata empat kanak-kanak itu dipercayai cuba menyelamatkan diri dengan bersembunyi di bilik air di bahagian dapur rumah berkenaan.

Mayat semua kanak-kanak itu kini berada di Jabatan Forensik, Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk bedah siasat.

Kejadian yang berlaku pada 7.49 malam itu mengorbankan Puteri Aisyah Tenko To, 8; Mohd Hakim, 6; Mustakim, 4 dan Fatihah Aisyah, 3.

– BERNAMA


Pengarang :