Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap sebelum merasmikan Kongres Nasional Khas KEADILAN 2023 di Stadium Malawati, Shah Alam pada 18 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Empat bulan bersabar, PM ingatkan pembangkang jangan main api perkauman

SHAH ALAM, 18 MAC: Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam penampilan sulungnya sebagai perdana menteri membuka tirai Kongres Nasional Khas Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), hari ini dengan ucapan dasar dalam nada tegas.

Anwar berkata beliau selaku presiden parti bersabar selama empat bulan sejak dilantik pada November lalu sebagai pemimpin nombor satu negara bagi menjaga prinsip dan kehormatan.

Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap sebelum merasmikan Kongres Nasional Khas KEADILAN 2023 di Stadium Malawati, Shah Alam pada 18 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Ini gelanggang saya. Empat bulan saya bersabar, saya bicara teratur. Hari ini saya bicara sebagai presiden KEADILAN.

“Saya memilih untuk sampaikan dengan keras. Jangan ingat saya jadi perdana menteri saya akan terpukau. Saya tahu asal usul dari mana,” katanya yang mendapat sorakan kira-kira 4,000 perwakilan dan ahli parti.

Anwar menambah beliau tidak takut dengan sebarang ugutan, perhimpunan, atau rampasan kuasa seperti yang dilaungkan pembangkang.

Beliau bagaimanapun memberi amaran kepada pembangkang agar tidak memilih memainkan isu perkauman yang akan menghancurkan negara.

“Dan jika kamu mencabar kami, saya akan gunakan semua kuasa dan kekuatan yang ada untuk menghancurkan rancangan gila merosakkan keharmonian kaum.

“Jangan main api perkauman, yang terbakar itu rakyat. Kamu (nanti) akan lari dengan pesawat jet peribadi kamu,” katanya.

Kongres khas yang berlangsung di Stadium Malawati di sini antara lain dianjurkan bagi memberi fokus kepada persiapan parti bagi menghadapi pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.


Pengarang :