Anggota bomba dan penyelamat menjalankan siasatan dalam kebakaran sebuah rumah yang mengorbankan empat kanak-kanak di Kampung Sabak Awor, Muar pada 29 Mac 2023. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Johor
AGENDANASIONAL

Empat kanak-kanak maut dalam kebakaran rumah

JOHOR BAHRU, 29 Mac: Empat kanak-kanak maut dalam kebakaran sebuah rumah di Lorong Haji Muhammad, Kampung Sabak Awor di Muar, kira-kira 140 kilometer dari sini, malam ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, Timbalan Penguasa Bomba II Shahrizal Mokhtar berkata dua kanak-kanak perempuan masing-masing berumur empat dan enam tahun, serta dua kanak-kanak lelaki berumur tiga dan lapan tahun disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan di lokasi kejadian.

Beliau berkata sebaik tiba di tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 7.49 malam, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mendapati 80 peratus daripada bangunan rumah jenis separuh kekal itu musnah dijilat api.


Sebuah rumah terbakar dan mengorbankan empat kanak-kanak di Kampung Sabak Awor, Muar pada 29 Mac 2023. Foto Ihsan Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Johor

“Setelah api padam sepenuhnya PKO bertindak membuat pencarian mangsa dan semua kanak-kanak itu dijumpai di dalam bilik air rumah berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Katanya semua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Shahrizal berkata operasi ditamatkan pada jam 9.52 malam tadi.

– BERNAMA


Pengarang :