Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhamad bergambar bersama Ikon Muslimah Nona ketika Forum Wanita VIP Xcess Ke Syurga di Dewan Megawati, kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar, di Shah Alam pada 20 Mac 2023. Foto Ihsan Majalah Nona
AGENSISELANGOR

Enam pempengaruh dakwah, kebajikan dinobat Ikon Muslimah Nona

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 21 MAC: Seramai enam pempengaruh bidang dakwah dan kebajikan dinobat sebagai Ikon Muslimah Nona sempena Forum Wanita VIP Xcess Ke Syurga di Dewan Megawati, kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar, di sini semalam.

Anugerah julung kali itu mengangkat Datuk Dr Ustazah Norhafizah Musa, Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki, Dr Robiah K Hamzah, Datuk Rozzana Rahmat, Dr Rukhaidah Abd Karim dan Fatin Nabila Ahmad Zainuddin sebagai ikon muslimah.

Majlis yang dianjurkan Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) turut mendapat kerjasama rakan sinergi iaitu Nona, My #InfaqIhsan, Warisan Ummah Ikhlas dan Angel Group Creative Financial Solution.

Majlis bertema rona putih dan merah jambu dengan sentuhan Timur Tengah dihadiri Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhamad, Editor Pengurusan Majalah Nona, Kiffy Razak dan lebih 300 tetamu jemputan.

Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhamad bersama lebih 300 wanita mengikuti Forum Wanita VIP Xcess Ke Syurga di Dewan Megawati, kediaman rasmi Dato Menteri Besar pada 20 Mac 2023.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Majlis ilmu yang juga julung kali diadakan bertujuan menyebarkan motivasi kepada para muslimah, selain memantapkan ibadah dan persiapan rohani menjelang Ramadan.

Personaliti dakwah terkenal Datuk Dr Ustazah Norhafizah Musa berkata pengiktirafan yang diterima membakar semangatnya untuk terus memberi manfaat kepada masyarakat dengan memperbanyakkan program dakwah, motivasi, kebajikan dan penulisan buku.

Ikon Muslimah Nona Datuk Dr Ustazah Norhafizah Musa. Foto Ihsan Majalah Nona

“Usaha ini dilakukan atas rasa cinta dan kasih khususnya kepada para wanita dengan berkongsi sedikit pengalaman hidup dan pengetahuan dengan masyarakat supaya ia jadi tauladan kepada semua. .

Kita nak sama-sama cari kebahagiaan bukan dunia sahaja tetapi juga akhirat menerusi ‘modal’ yang dipinjamkan Allah SWT kepada ustazah,” katanya.

Bagi perunding motivasi terkenal Dr Robiah K Hamzah pengiktirafan yang diterima menjadi platform meneruskan kesinambungan usahanya menyampaikan ilmu dan mendidik masyarakat.

Ikon Muslimah Nona Dr Robiah K Hamzah. Foto Ihsan Majalah Nona

“Sebagai pendidik saya mahu didik sesiapa sahaja tanpa kira latar belakang seseorang kerana pada saya lebih banyak kita memberi lebih banyak yang kita akan dapat.

“Saham paling besar bukan di dunia tetapi di ‘sana’ jadi dalam usia yang masih bersisa ini saya akan terus mendidik masyarakat kerana ia membuat saya bahagia,” katanya.


Pengarang :